PASIR MAS - Penentuan hubungan antara entiti berkait rapat dengan penekanan dalam etika dan kod moral dalam diri setiap masyarakat. Begitulah dinyatakan Ketua Jajahan Pasir Mas, Fauzi Mat, dalam majlis program Road Show Kod Etika Anggota Perkhidmatan Awam yang pertama kali diadakan pada 2008.
“Saya percaya isu etika penting dalam usaha untuk terus membangunkan negara. “Sekiranya meneliti sejarah, kita akan mendapati bahawa kejayaan bangsa dan tamadun berkait rapat dengan etika dan nilai moral,” katanya.
Beliau berkata, nilai etika direka bagi memastikan wujud keharmonian antara entiti dalam sesebuah masyarakat dengan setiap hubungan menyediakan keadaan menguntungkan semua pihak. “Ia juga memastikan setiap lapisan dalam masyarakat berfungsi di atas kelaziman nilai moral yang serupa.
“Dan apabila semua orang bergerak atas peraturan dan tanggapan sama, semua aktiviti dilaksanakan menjadi lebih pantas dan saksama,” katanya. Beliau memberikan gambaran mengenai kod etika dan nilai sesebuah masyarakat sama seperti sistem operasi sebuah komputer.
Fauzi berkata, jika satu komponen komputer tidak mematuhi sistem operasinya, ia bukan sahaja mencetuskan masalah kepada komponen itu, tetapi keseluruhan sistem komputer tidak boleh beroperasi dengan sempurna atau mungkin akan rosak. Katanya, melalui kerjasama berpasukan dalam persetujuan isu moral dan etika, tumpuan akan dapat diberikan bagi membawa peningkatan terhadap setiap jabatan.
“Sekiranya dapat menghidupkan semua prinsip moral dan tahap etika tinggi sama seperti diamalkan nenek moyang terdahulu, kita boleh menandingi pencapaian mereka,” katanya. Beliau dalam ucapannya juga memberikan contoh mengenai nilai-nilai murni dan etika dalam Islam. “Islam bukan satu slogan tetapi amalan nilai dan etika baik, terutamanya nilai-nilai Islam yang membawa kejayaan bukan sahaja kepada orang Islam, malah membabitkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Ujarnya, sekiranya semua agensi kerajaan dapat melaksanakan tadbir urus yang baik dan etika kerja profesional, ia akan mewujudkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awan. Majlis yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas menjelaskan keprihatinan dan kesungguhan pihak pentadbiran negeri untuk memastikan semua undang-undang, perintah dan arahan bukan sahaja dipatuhi dengan sempurna, tetapi diikuti dengan penuh integriti oleh setiap anggota dan semua pihak yang berurusan dengannya.
“Saya menyeru kepada diri dan semua rakan-rakan agar kita bekerja bersungguh-sungguh secara teratur, berstrategi dan terancang serta ingatlah bahawa bahagian paling penting ialah teras etika diri kita sendiri,” katanya. Seramai 200 pegawai di bawah Kerajaan Negeri hadir pada majlis yang turut dihadiri Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad.